*Entri ini 100% pendapat saya dan beberapa rakan. Please jangan saman kalau terasa.. Saya agak takut sebenarnya untuk menulis entri ini kerana rakyat Malaysia ini, mostly mempunyai sensitiviti yang cukup tinggi. Kalau tersilap tulis sikit atau orang yang menulis itu bukanlah sesiapa, memanglah diorang cukup bengang. Erti kata lain, tak boleh terima pendapat orang lain. Persoalkan balik, “kau siapa nak nasihatkan aku?” Jadi, saya perlu terangkan sekali lagi bahawa entri ini 100% pendapat kami, para pendengar yang juga ingin melihat industri muzik tanah air semakin maju ke hadapan.
Minggu lepas saya keluar dengan seorang rakan dan salah satu topik perbualan kami terarah kepada Anugerah Juara Lagu 28 dan Industri Muzik di Malaysia keseluruhannya.
Gambar: The Star
Tahniah diucapkan kepada pemenang AJL baru-baru ini iaitu Hafiz dengan lagunya Bahagiamu Deritaku. Tetapi ramai orang lupa untuk ucapkan tahniah kepada komposer dan penulis lirik lagu ini walaupun mereka sebenarnya orang yang bertanggungjawab membikin lagu tersebut. Jadi, tahniah dan terima kasih diucapkan kepada LY dan Baiduri kerana telah menghasilkan karya yang cukup indah dan memang layak untuk memenangi anugerah yang cukup berprestij ini.
Baiklah, kemenangan lagu ini sememangnya wajar dan tidak patut dipersoalkan. Walaubagaimanapun persoalan yang boleh diketengahkan ialah kualiti industri muzik kita keseluruhannya. Semasa berbual dengan rakan saya, saya agak tertarik dengan kata-katanya iaitu “Juara Lagu? Hahh... macam sama je dengan zaman-zaman Ziana Zain dulu.”
Kata-kata ini agak menarik bagi pendapat saya kerana ianya tidak hanya refleks kepada pemenangnya sahaja tetapi kepada hala tuju industri muzik kita. Kalau dipersoalkan kepada kami, bagaimana untuk menghasilkan sebuah karya muzik yang baik, sememangnya kami tiada kepakaran. Tetapi sebagai pendengar dan peminat yang juga mendengar lagu-lagu daripada negara lain seperti lagu Inggeris, Korea dan Indonesia, adalah cukup mudah bagi kami untuk membuat perbandingan secara kasar.
KUALITI PERSEMBAHAN
Bagi kami, apa sebenarnya yang kurang ialah ‘kualiti persembahan’. Jangan bercakap soal vokal kerana saya memang tiada kepakaran mengenainya. Walaubagaimana sekalipun saya bersetuju kalau ada yang kata vokal penyanyi kita adalah jauh lebih hebat berbanding penyanyi Inggeris yang ternama. Sebagai seorang yang mengikuti anugerah-anugerah berprestij antarabangsa seperti Grammy Awards, Billboard Awards dan American Music Awards, saya merasakan ada sesetengah daripada penyanyi kita mempunyai vokal yang cukup hebat dan mampu menandingi vokal artis Inggeris yang lain.
Kekurangan yang jelas nampak kelihatan ialah dari segi kualiti persembahan. Apa yang dimaksudkan dengan persembahan ialah penyampaian sesebuah lagu itu. Hal ini bukan hanya terpakai dalam AJL sahaja tetapi kepada seluruh industri. Kalau kita lihat, dari segi kesungguhan menyampaikan persembahan, artis kita masih lagi pada tahap yang agak membimbangkan. Sebagai contoh, kita boleh lihat kebanyakan artis dan penyanyi luar, selain daripada vokal yang mantap mereka juga mementingkan penyampaian persembahan yang mampu membuatkan penonton teruja dan bersorak menyaksikan persembahan mereka. Salah seorang artis yang saya gemar saksikan persembahannya ialah Pink.
Lihatlah persembahan artis ini dalam mana-mana anugerah sekaipun, pasti ada kelainan dan kita boleh nampak 150% kesungguhannya dalam melakukan persembahan. Kita boleh bayangkan betapa dia bekerja keras untuk menyampaikan persembahannya itu. Dan sekarang, apa kata kita bandingkan pula gaya persembahan artis ini degan mana-mana artis dari negara kita. Ada tak sesiapa yang mampu menyampaikan persembahan sepertinya?
Saya setuju jika anda katakan bahawa tidak semua persembahan memerlukan pergerakan, as long as penyanyi itu berdiri di atas pentas dan menyampaikan lagunya yang berunsur balada itu sahaja sudah cukup. Walaubagaimanapun, kalaulah kesemua artis kita memilih untuk menyampaikan persembahannya sebegini, di mana variety yang kita boleh nampak dalam industri kita?
Selain daripada vokal, ada banyak lagi perkara yang boleh mendatangkan keterujaan kepada penonton yang menyaksikan sebuah persembahan. Kita memang tidak membudayakan Standing Ovation tetapi cuba satu persembahan itu lain daripada yang yang lain dan memberi semacam tenaga kepada penonton, pasti secara automatik para penonton akan berdiri semasa menyaksikan persembahan tersebut. Itulah elemen yang kurang dalam muzik kita.
TIADA ‘KEPELBAGAIAN’
Kalau kita lihat dari segi jumlah penduduk di Malaysia, sememangnya tidaklah seramai mana dan jumlah yang mendengar lagu-lagu melayu juga pastinya sedikit. Walaubagaimanapun, kita terlupa bahawa kita mempunyai bahasa yang sama dengan mereka di Singapura dan Indonesia. Secara logiknya apabila kita mampu menjual lagu kita di negara ini, maka kita juga mampu menjualnya di sana kerana, bahasa yang sama dan mereka memahami lagu kita. Tetapi kita tetap tidak mampu menembusi pasaran di sana tetapi lagu dari sana pula yang banyak masuk ke negara kita. Kenapa agaknya?
Persoalan mengenai faham atau tidak sebenarnya bukanlah satu masalah yang sangat besar. Kalau kita ambil contoh, semakin ramai orang kita yang mendengar lagu-lagu daripada Korea dan Jepun. Cubalah tanya mereka, adakah mereka faham lagu-lagu yang mereka pujakan itu? Pastinya mereka tidak faham melainkan mereka google translation lagu tersebut. Jadi apa yang membuatkan mereka mendengarnya? Faktor kecil yang boleh dikatakan mungkin kerana rupa artis di sana cantik dan kacak malah persembahan mereka menari agak mengujakan tetapi apa yang penting sebenarnya lagu itu sendiri mempunyai kepelbagaian dan muzik yang didengari fresh.
Masalah yang kita hadapi di sini ialah kebanyakan lagu umpama satu repitition. Sama seperti filem kita juga, kita ambil idea yang lebih kurang sama dan tukar mana yang patut. Itulah sebabnya kenapa industri kita terus menerus kecil dan tidak berkembang. Kita boleh bandingkan dengan negara terdekat seperti Indonesia. Orang kita juga memilih untuk mendengar lagu dari sana kerana muziknya yang fresh dan ada kepelbagaian berbanding muzik kita.
Saya cukup malu apabila ada sesetengah pihak yang nampak sangat menagih orang-orang kita untuk menyokong industri muzik kita sendiri. Ada yang sampai masuk dalam televisyen, menyalahkan penonton dan pendengar kerana melebih-lebihkan artis luar daripada artis kita sendiri. Satu sahaja yang ingin saya katakan kepada anda ini, KESIAN....
Kepada golongan ini, saya ingin katakan kepada anda, sekiranya anda menghasilkan karya yang bagus, tak kira macam mana sekalipun, orang akan dengar dan sokong. Tak perlu salahkan orang lain, apa yang penting, anda sendiri perlu buat yang terbaik. Sama seperti ahli politik, sekiranya dia mahu diundi, dia sepatutnya menunjukkan dahulu keupayaan dan kemampuannya dalam memimpin, barulah rakyat akan menyokongnya. Sama juga seperti skuad bola sepak, mereka perlu menunjukkan kesungguhan mereka dalam game itu dahulu jika mereka ingin mendapat sokongan daripada peminat. Prinsip yang sama juga harus digunapakai di sini. Sekiranya penghasil karya muzik kita menghasilkan satu karya yang hebat, walaubagaimana sekalipun, orang akan pilih untuk dengar. Mudah bukan? Tak perlu nak menagih lagi.
KELIRU DENGAN OBJEKTIF
Topik seterusnya yang mungkin saya boleh tambah ialah kualiti anugerah kita sendiri. Saya ingin bandingkan sekarang iaitu American Music Awards (AMA) dan Anugerah Industri Muzik (AIM).
Saya mengikuti kedua-dua anugerah dan saya ingin ketengahkan tentang gaya penganjuran anugerah pula. Kedua-dua anugerah mempunyai base penganjuran yang cukup kuat untuk memberi penganugerahan kepada artis di negara masing-masing. Walaubagaimanapun masalah yang kita boleh lihat dari penganjuran kita ialah betapa banyaknya elemen yang tidak penting yang diselitkan dalam anugerah itu sendiri. Sebagai contoh, pengacara. Saya tak pasti kenapa kita amat mementingkan pengacara itu membuat lawak. Saya faham industri komedi tanah air semakin meningkat tetapi, itu tidak bermaksud semua benda harus ada unsur lawak. Ada pelbagai cara yang boleh digunakan untuk membuatkan penonton terhibur dan lawak hanyalah salah satu daripada cara tersebut. Kalau kita dapat lihat, anugerah seperti AMA, running time bagi anugerah ini dipenuhi dengan persembahan daripada artis mereka. Pengaracara menjaga masa dan bercakap sedikit sahaja. Dan penyampai anugerah juga tak perlu bersembang mengarut di atas pentas. Memang betullah itu tujuan anugerah ini dijalankan untuk showcase persembahan dan kemampuan artis mereka dalam menyampaikan persembahan. Bandingkan pula dengan AIM kita, running time dipenuhi dengan lawak jenaka daripada pengacara semata-mata, kurang persembahan daripada artis kita (sesetengah artis itu sendiri kita tak tahu, sepatutnya inilah masa untuk mereka menyampaikan persembahan mereka).
KONKLUSI
Sekali lagi perlu saya tekankan di sini, entri ini 100% pendapat saya dan beberapa rakan. Niat entri ini ditulis bukan untuk menghina mana-mana pihak tetapi kami juga ingin melihat kualiti industri muzik negara kita meningkat.
Industri kita bukanlah tidak bagus. Sejak kebelakangan ini ada beberapa artis kita yang berjaya menembusi pasaran anatarabangsa seperti Shila Amzah dan Yuna. Justeru, ramai lagi penyanyi kita yang perlu mengambil langkah serupa kerana ini bukan sahaja menaikkan nama mereka dan industri muzik kita malah nama negara juga akan harum di peringkat antarabangsa. Takkan sampai sekarang pun jika kita tanya kepada mana-mana orang Indonesia, “siapa penyanyi Malaysia yang mereka kenal” jawapan mereka tidak berubah, hanya dua orang ini sahaja iaitu Siti Nurhaliza dan Sheila Majid.
Sekian, wassalam..
0 comments:
Post a Comment