Semasa cuti semester yang lepas, seperti biasa saya dan kakak saya keluar jalan-jalan di sebuah shopping mall. Di sana, kami singgah di sebuah restoran dan setelah selesai, salah seorang pekerja di kedai itu menegur saya. “Thank you sir, come again.” Saya pun tanpa melihat muka dia, hanya mengangguk dan terus keluar daripada kedai tersebut. Setelah beberapa langkah, terasa bahu saya dicuit dan apabila menoleh, saya terpandang wajah seseorang yang agak familiar bagi saya.
Rupa-rupanya pekerja yang menegur saya tadi ialah merupakan sahabat saya semasa di sekolah menengah dahulu. Agak terkejut sebab dah lama tak jumpa dan tak sangka juga sebab saya ingatkan dia sekarang sedang belajar di luar negara. Jadi disebabkan dia masih lagi dalam waktu kerja, kami tidak dapat bersembang pada waktu itu dan mengatur perjumpaan pada hari yang lain.
Dipendekkan cerita, suatu hari kami berjumpa untuk bersembang dan sememangnya saya nak mendengar cerita sahabat saya ni. Ada beberapa perkara menarik yang boleh saya rumuskan daripada perbualan ini seperti yang akan saya kupaskan disini, iaitu SPM tidak menjamin apa-apa.
Untuk pengetahuan semua, sahabat saya ini merupakan salah seorang pelajar cemerlang SPM semasa di sekolah menegah dahulu. (Bila sebut cemerlang, maknanya straight A la kan..) Jadi, kebiasaannya lah, pelajar-pelajar cemerlang ini lebih berkeinginan untuk melanjutkan pelajaran mereka di luar negara berbanding di dalam negara. Kenapa? Persoalan ini mungkin terlalu subjektif. Ada yang berpendapat belajar di luar negara bagus kerana taraf pendidikan di sana adalah lebih tinggi justeru, mereka boleh menjadi graduan yang lebih berkemahiran. Ada juga yang berpendapat belajar di sana sama sahaja dengan belajar di dalam negara cuma, mereka ingin dapatkan pengalaman hidup di negara orang di samping belajar di universiti, mereka juga dapat belajar cara hidup, budaya mereka dan survival skills di sana.
Seperti mereka juga, sahabat saya ini memilih option yang sama. Kalau pelajar biasa sibuk memilih kursus Pra-U seperti STPM, asasi, matrikulasi, diploma di kolej, universiti, politeknik dan sebagainya mereka pula memilih untuk berada di kolej-kolej mara dan kolej swasta yang lain dengan tajaan daripada penaja masing-masing. Subjek yang mereka pelajari juga bukanlah mudah kerana walaupun bunyinya simple seperti matematik biologi, fizik dsb, berada di peringkat A-Level ataupun IB (International Baccalaureate), level pengetahuan yang diuji kepada pelajar adalah pada peringkat antarabangsa. Ini kerana, persaingan yang perlu mereka hadapi untuk belajar di universiti luar negara adalah lebih besar kerana kursus-kursus ini juga ditawarkan kepada pelajar di seluruh dunia. Jadi memilih untuk berada di peringkat A-Level, IB dan kursus yang setaraf bukanlah main-main. Ia memerlukan pelajar itu menumpukan perhatian sepenuhnya dan boleh memberi komitmen yang menyeluruh terhadap pengajian mereka.
Berbalik semula kepada cerita sahabat saya tadi, setelah tamat pengajian, keputusannya hanya cukup makan. Dan ada beberapa faktor lain yang diberi oleh pihak penaja yang membuatkannya tidak dapat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Sekiranya sesiapa pun yang berada di tempatnya pasti akan berasa sedih kerana apabila berada di tahap ini, matlamat utama pelajar biasanya adalah untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Jangka masa yang diambil bagi kursus ini juga adalah 2 tahun (agak lama berbanding kursus asasi dalam negara). Oleh yang sedemikian, dia sedang menunggu untuk melanjutkan pelajaran di universiti dalam negara walaupun rakan-rakan yang lain sekarang sudah berada di tahun kedua pengajian.
Apa yang saya boleh katakan disini bagi pihak sabahat saya ini ialah dia adalah salah seorang pelajar yang kurang bernasib baik. Mungkin menjadi ‘mangsa’ pihak-pihak tertentu tetapi dia juga sendiri mengaku ada salah yang dilakukannya sendiri sebagai contoh:
TETAPKAN MATLAMAT
Seperti yang saya katakan tadi, sahabat saya mengaku adalah menjadi salah dirinya sendiri kerana tidak meletakkan matlamat yang betul dalam hidupnya. Matlamat yang ditekankan disini ialah matlamat hidup dan bukan matlamat dalam pembelajaran dan pengajian semata-mata. Sebaiknya semasa di peringkat sekolah lagi, matlamat hidup itu harus ditetapkan. Saya sendiri pernah terfikir kenapa penting untuk kita tahu cita-cita. Zaman dulu apabila saya ditanya “nak jadi apa?” sejujurnya saya blank. Saya tak pernah terfikir pun nak jadi apa. So, kalau orang tanya, jawab sahajalah apa-apa pun, kadang-kadang nak jadi doktor, kadang-kadang engineer pulak.
Walaubagaimanapun, sekarang baru saya sedar kenapa pentingnya untuk kita tahu apa cita-cita kita sejak di bangku sekolah lagi. Supaya kita boleh menetapkan matlamat hidup kita. Matlamat yang ditetapkan itu cukup penting kerana ianya membolehkan kita tahu bagaimana cara untuk kita capai matlamat kita itu.
Sebagai contoh, sekiranya kita berada di negeri Johor dan ‘matlamat’ kita di sini ialah kita ingin sampai ke negeri Kedah. Apabila kita dah ada ‘matlamat’ itu barulah kita tahu apa option untuk kita sampai ke ‘matlamat’ kita. Dalam kes ini ada beberapa jalan yang kita boleh gunakan sama ada dengan melalui jalan darat menggunakan ‘kereta’, menggunakan ‘kereta api’ ataupun dengan menggunakan ‘kapal terbang’. Bila kita dah tahu option barulah kita boleh menentukan cara terbaik yang boleh kita pilih untuk kita capai ke ‘matlamat’ kita itu. Mungkin saya akan pilih kapal terbang, lebih mudah dan cepat.
Kalau kita boleh aplikasikan cara ini dengan topik mengenai pelajaran pula, seperti yang saya katakan tadi adalah penting untuk pelajar di peringkat sekolah untuk tahu apa matlamat cita-cita mereka. Nak jadi apa? Doktor? Jurutera? Peguam? Cikgu? Dsb. Cara yang sama, bila kita dah tahu betul-betul apa matlamat kita itu barulah kita tahu bagaimana untuk kita capai matlamat kita itu, “kalau selepas pengajian boleh sambung asasi, matrikulasi, STPM” dan sebagainya. Seterusnya baru kita boleh pilih cara yang terbaik dan sesuai dengan kita bagi mencapai matlamat kita. “Kalau ambil asasi dan matrikulasi jangka masa setahun berbanding STPM, tambah lagi setahun” walaubagaimanapun ambil kira juga persaingan dan subjek yang bakal diambil, boleh kah kita bawa dsb.
Masalah yang agak besar dihadapi ramai pelajar sekarang (termasuk diri saya sendiri dahulu) ialah kita tak ada matlamat hidup. Kita tak tahu kita nak bekerja sebagai apa bila tiba masanya nanti. So, bila ditanya “nak jadi apa?” memang tak ada jawapan atau bertukar-tukarlah jawapannya. Inilah sebenarnya masalah yang diceritakan oleh sahabat saya tadi, oleh kerana dia sendiri sampai ke tahap ini pun masih lagi keliru dengan cita-citanya, dia tersilap jalan dan seterusnya tidak tahu hala tuju hidupnya.
Bagi diri saya pula, walaupun selepas mendapat keputusan SPM saya tak tahu lagi matlamat kerjaya saya, saya memilih bidang perundangan kerana saya dah tak mahu belajar subjek sains lagi dan mungkin juga ijazah bidang perundangan boleh memberi peluang pekerjaan yang pelbagai kepada saya. Itu adalah contoh langkah yang saya ambil. Alhamdulillah, sekarang apabila belajar undang-undang minat itu datang sendiri dan kini saya tahu sedikit demi sedikit matlamat hidup saya.
JANGAN ACCIDENT
Apabila kita dah ada matlamat dan mengambil jalan terbaik yang telah kita pilih, langkah yang seterusnya ialah dengan memastikan bahawa kita mencapai matlamat kita itu. Sebagai contoh untuk yang pertama tadi, kalau kita nak ke Kedah dan memilih untuk memandu kereta, pastikan jaga keselamatan diri dan had laju. Kalau accident, tak sampai lah ke ‘matlamat’ itu. Sama dengan pelajaran kita, jangan pula menggagalkan diri dengan main-main di pertengahan jalan kerana itu umpama accident dan kita tak akan dapat sampai ke matlamat kita tadi.
Contoh yang diberikan oleh sahabat saya ialah dia main-main dalam pelajarannya. Contoh yang boleh saya berikan pula berdasarkan pengalaman belajar di peringkat asasi dan ijazah ini ialah kita terkeliru dengan kemampuan diri kita dan sememangnya juga main-main dalam pelajaran.
Masalah main-main dalam pelajaran ini sememangnya ada di mana-mana dan dirasai oleh semua orang di semua peringkat. Boleh jadi kita jumpa geng yang sekepala, tinggal pula pelajaran, ataupun sibuk dengan aktiviti luar sampai pelajaran pula diletak tepi. Untuk masalah ini, pelajar itu sendiri sebenarnya perlu bijak membahagikan masa dan tahu membezakan perkara yang penting dan kurang penting.
Selain itu, ramai juga yang agak keliru dengan kemampuan diri sendiri dan kursus yang dipilih. Perkara sebegini banyak berlaku dan saya lihat semasa berada di peringkat asasi. Saya memilih kursus asasi undang-undang, teringat pada waktu itu, semasa kelas pertama pensyarah bertanya setiap pelajar “kenapa memilih kursus undang-undang” dan ramai yang menjawab, “sebab saya seorang yang suka bercakap dan saya suka berdebat.” Walaubagaimanapun, di akhir semester, mereka yang memberi jawapan sebegini pula yang tidak dapat menyambung pelajaran dalam kos undang-undang di peringkat ijazah. Mengapa perkara sebegini boleh terjadi?
Seperti yang saya ceritakan di awal tadi, ramai antara kita yang masih terkeliru dengan kemampuan diri sendiri dan kursus yang dipilih. Seperti dalam kes ini, hanya kerana kita petah bercakap dan suka argue tentang sesuatu perkara tidak semestinya melayakkan diri kita dalam bidang undang-undang. Sememangnya itu skill yang amat penting tetapi sekiranya bahasa Inggeris kita tidak sampai ke tahap yang sepatutnya dan bukanlah seorang yang suka membaca dan tiada skill dalam menghafal, akan menjadi kesukaran bagi kita untuk meneruskan pelajaran. Justeru, sekiranya ingin memilih sesuatu kursus itu, kita perlu tahu apa skill sebenarnya yang diperlukan (spt. bercakap semata-mata ataupun membaca) dan adakah skill itu ada pada kita?
MINAT
Kali ini saya ingin bercakap mengenai minat pula. Satu perkara yang menarik minat saya ialah antara orang yang hebat dan gempak dalam abad ini, mereka sebenarnya pernah gagal dalam pelajaran mereka. Sebagai contoh, pengasas Microsoft iaitu Bill Gates, dan founder & CEO Facebook iaitu Mark Zuckerberg.
Apa yang menarik minat saya untuk menulis tentang ini ialah baru-baru ini juga saya terdengar salah seorang kawan sekolah yang juga cemerlang dalam SPMnya, kemudian sambung pelajaran untuk persediaan ke luar negara tetapi tidak pula menyambung pelajarannya tetapi memilih untuk memulakan bisnes. Sebagai seorang rakan, saya cukup respect dengan keberanian dan keputusannya ini kerana tidak ramai anak muda yang sanggup mengambil keputusan sepertinya.
Teringat pula dialong dalam filem 3 Idiots di mana Rancho bertanya kepada Farhan, bagaimana sekiranya bapa kepada Michael Jackson memaksa anaknya itu untuk belajar berbanding menyanyi? Memang tidak wujudlah seorang penyanyi pop yang hebat di dunia ini kan? Kata-kata ini amat mendalam bagi saya kerana walau apa pun yang kita lakukan, sekiranya minat itu tiada makan ianya tidak akan menjadi. Dan kalau ada satu-satu benda yang kita minat, kita akan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya.
KONKLUSI
Kepada rakan-rakan, harap post saya ini sedikit demi sedikit boleh memberi panduan dalam membuat sebarang keputusan. Memandangkan keputusan SPM juga akan diumumkan tidak lama lagi, diharap entri ini juga dapat memberi panduan kepada adik-adik yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Harapnya anda tahu jalan terbaik yang patut anda ambil untuk mencapai matlamat anda. Tidak semestinya kerana anda mendapat keputusan yang cemerlang, anda harus mengambil kursus A-Level dan setaraf dengannya. Pelajar lain yang mengambil kursus tersebut tahu hala tuju hidup mereka, bagaimana pula dengan anda? Perkara yang penting ialah tahu matlamat anda dan consider minat diri sendiri.
Selain itu, adalah amat penting untuk anda semua tahu bahawa SPM bukanlah jaminan dalam hidup. Ada orang berpendapat sampai ke tahap seolah-olah SPM itulah segala-galanya. Gagal SPM bermaksud gagal dalam hidup. Mengikut pengalaman saya dan rakan-rakan, ada orang yang pernah gagal dalam SPM tetapi tetap berjaya dalam hidup. Ada orang yang cemerlang dalam SPM tetapi tidak bernasib baik atau memilih jalan yang berbeza.
Walaubagaimanapun, buat sahabat saya tadi, apa yang penting adalah rezeki. Kita tak tahu di mana Allah letakkan rezeki kita. Semua yang berlaku adalah Qada’ dan Qadr daripada yang Maha Esa. Hanya Dia sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk diri kita.
Sekian, wassalam..
0 comments:
Post a Comment