Sunday, 28 June 2015

LGBT: Maksud perjuangan mereka

26 Jun 2015 boleh dikatakan sebagai satu tarikh yang bersejarah bukan hanya di Amerika Syarikat, malah bagi seluruh dunia. Ini adalah kerana pada hari tersebut, Mahkamah Agung Amerika (US Supreme Court) melalui kes Obergefell v Hodges telah memutuskan bahawa perkahwinan sejenis adalah sah disisi undang-undang di Amerika Syarikat.


Mungkin ramai, khususnya mereka yang bukan berasal daripada Amerika mahupun Eropah yang menganggap bahawa ianya bukanlah suatu perkara yang besar apatah lagi Amerika terkenal dengan Bill of Rights mereka dan merupakan sebuah negara yang banyak memperjuangkan hak asasi manusia.

Sebenarnya, hak perkahwinan sejenis ini bukanlah suatu hak yang terjamin di Amerika. Oleh kerana sistem perundangan mereka yang berbeza bagi setiap negeri, hanya segelintir negeri di Amerika yang membenarkan perkahwinan sejenis sebelum ini. Selebihnya, tidak membenarkan perkahwinan sejenis, malah menganggapnya sebagai suatu perbuatan yang salah. Beberapa negara lain telah membenarkannya dan hanya pada Jun 2015, Amerika juga menjadi salah sebuah negara yang membenarkan perkahwinan sejenis di seluruh negara.


Persoalan yang mungkin bermain di dalam minda sesetengah daripada kita ialah, kenapa perlu bagi golongan ini berjuang bagi mendapatkan hak ini? Kenapa mereka mahu hak untuk berkahwin? Tidak bolehkan mereka hanya hidup bersama pasangan mereka?

Sekiranya ingin mendapatkan jawapan yang tepat mungkin kita perlu tanya sendiri pejuang-pejuang hak ini. Walaubagaimanapun, pada dasarnya perkahwinan adalah merupakan satu perkara yang penting dari perspektif undang-undang. Ini adalah kerana ia memberi satu kelebihan kepada pasangan terutamanya dari sudut perkongsian harta, pembahagian harta apabila salah seorang pasangan meninggal dunia, hak penjagaan anak dan sebagainya. Bergantung kepada polisi setiap negara juga, ia memberikan kelebihan yang banyak.

Selain daripada itu, mungkin juga perjuangan ini belandaskan idea di mana mereka mahu hubungan ini diiktiraf dan dianggap sebagai normal. Kebanyakan daripada mereka, semasa membesar berhadapan dengan kecaman daripada masyarakat yang menghina golongan ini. Mereka dihina dari sudut moral yang menganggap mereka 'pelik', dari perspektif agama yang menganggap mereka 'berdosa', dan dari perspektif psikologi yang menganggap mereka 'tidak normal'.


Membesar dengan tekanan sebegini, ianya mungkin menjadi satu bentuk inspirasi kepada golongan tersebut untuk memperjuangkan hak mereka. Justeru, mereka terus berjuang untuk mendapat hak yang sama seperti pasangan hetero yang lain. Hak dalam perkahwinan mungkin adalah merupakan hadiah tambahan bagi mereka. Apa yang lebih penting sekarang, pengesahan perkahwinan sejenis disisi undang-undang ini menjadi satu simbol pengiktirafan perhubungan ini dimata masyarakat.

0 comments:

Post a Comment