Saturday, 25 January 2014

Kenapa Lebihkan Perempuan?

Ughang luar salah tafsir koba gadih kito bahayo
Lopeh coghai semuo ghoto jadi milik dio
Jangan salah anggap,napo lobihkan pompuan
Sobab laki boleh hidup kalau campak dalam hutan

TRANSLATE

Orang lain salah tafsir, kata gadis kita bahaya
Selepas bercerai, semua harta jadi milik dia (perempuan)
Jangan salah anggap, kenapa lebihkan perempuan
Sebab lelaki boleh hidup walaupun dicampak dalam hutan

Sepanjang 20 tahun lebih hidup, memang banyak aku dengar ‘orang luar’ cakap pasal orang negeri Sembilan. Perspektif yang biasa contohnya, “jangan kahwin dengan orang perempuan Negeri Sembilan, sebab kalau bercerai, kita (orang lelaki), confirm akan hidup sehelai sepinggang; tak dapat apa-apa harta.” Kalau ditanya pada aku sendiri, aku boleh kataka memang betul pun, mengikut undang-undang adat di negeri ini jika bercerai atau pembahagian harta pusaka (undang-undang keluarga) sememangnya kaum perempuan akan mendapat lebih berbanding kaum lelaki, tak kiralah sama ada suami atau pun anak lelaki.

Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan bersifat matriarchal/matrilineal, iaitu mengutamakan kedudukan wanita dari segi pembahagian harta pusaka dan sebagainya. Secara asasnya, mengikut adat perpatih, kedudukan wanita adalah cukup tinggi dalam pandangan masyarakat. Ini adalah kerana:


Sejarah Adat Perpatih dan sebab perempuan diutamakan

Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang yang berasal  dari Pagar Ruyung, Sumatera dan dibawa ke Tanah Melayu oleh orang Minangkabau. Dari segi kekeluargaan dan perkahwinan, Adat Perpatih mengamalkan hidup secara bersuku-suku, iaitu hidup secara berkeluarga dengan ahli-ahlinya terdiri daripada satu ikatan sedarah sedaging.
Suku : Biduanda, Batu Hampar, Paya Kumbuh, Mungkal, Tiga Nenek, Seri Melenggang, Seri Lemak, Batu Belang, Tanah Datar, Anak Acheh, Anak Melaka, Tiga Batu.
Dalam soal perkahwinan Adat Perpatih mengamalkan eksogami iaitu  tidak membenarkan perkahwinan sesama suku. Selepas berkahwin, si suami akan meninggalkan keluarga asalnyanya kerana si isteri akan membawa si suami tinggal di rumah pusaka (rumah gadang) atau rumah sendiri yang dibina berhampiran rumah pusaka ibu si isteri. Jika berlaku penceraian atau si isteri meninggal dunia, maka si suami akan kembali semula kepada sukunya yang asal manakala anak-anaknya mereka bukan menjadi hak keluarga asas pasangan suami isteri tersebut tetapi hak rumpun ibunya.

Wanita dianggap sebagai pengasas suku. Harta pusaka turun-temurun adalah kepunyaan suku. Pewarisan harta diberatkan di sebelah ibu dan anak perempuan menjadi asas wujudnya suku dan ini menjadikan wanita kaya dan berkuasa. Si suami tidak berhak ke atas harta pusaka. Terdapat tiga jenis pembahagian harta iaitu harta dapatan, harta carian dan harta bawaan.


Konklusi:

Jadi, konklusinya adat perpatih sememangnya mengutamakan orang perempuan. Ini adalah kerana, bagi adat ini, suku adalah perkara yang paling penting. Wanita pula adalah golongan yang dianggap sebagai pengasas suku-suku ini, justeru martabat wanita diangkat. Apabila bercerai si isteri akan mendapat harta begitu juga dengan harta pusaka. Anak lelaki sama sekali tidak akan mendapat harta pusaka. Justifikasinya, harta pusaka itu dianggap sebagai harta suku tersebut. Jika harta itu diberi kepada lelaki, dia akan berkahwin dengan perempuan dari suku yang lain jadi harta tersebut juga akan berpindah ke suku yang lain. Oleh kerana adat perpatih amat mementingkan ke suku-an, perkara ini tidak boleh berlaku. Hak satu-satu suku itu perlu dilindungi justeru amalan perempuan mewarisi harta diamalkan bagi mengelakkan harta tersebut berpindah kepada suku yang lain.

Begitulah sejarahnya kenapa wanita mendapat lebih berbanding lelaki dalam adat perpatih. Kalau dilihat dari perspektif dan sudut yang berbeza, lelaki juga dianggap sebagai golongan yang kuat dan mampu melakukan lebih banyak benda berbanding golongan wanita. Bak kata-kata waris dalam lagunya, Gadis Jolobu, “Lelaki boleh hidup walaupun dicampak dalam hutan.” Jadi, anak-anak lelaki dalam adat perpatih disarankan agar bekerja dan tidak mengharapkan kekayaan keluarga semata-mata. Bagi saya personally, ini merupakan satu justifikasi yang cukup baik dan logik. Kenapa kita perlu mengharapkan sangat harta keluarga apabila kita boleh bekerja sendiri dan mengumpul harta sendiri? Lelaki punyai ego, jadi kenapa tidak salurkan ego itu untuk bekerja mengumpul harta sendiri berbanding mengutip harta keluarga? – Walaupun sebenarnya undang-undang ini bertentangan dengan amalan pembahagian harta mengikut hukum Faraid dalam Islam.

Sekian, wassalam

0 comments:

Post a Comment